5 Langkah Dari Ibu Bapa Elak Anak Remaja Keluar Malam

rg0706_friends_wideweb__470x2630

Kita dikejutkan dengan kes kemalangan maut yang melibatkan remaja berbasikal di jalan raya baru-baru ini. Kebanyakan daripada masyarakat menyalahkan ibu bapa kerana tidak memantau pergerakan anak-anak mereka yang keluar pada waktu malam.

Bagi ibu bapa yang lain, mereka sering membayangkan betapa mencabarnya untuk menjaga anak yang menginjak remaja ini. Ketika remaja ini lah, anak-anak mahukan kebebasan dan mahu sentiasa berseronok bersama kawan-kawan. Pada mereka, aktiviti bersama rakan-rakan adalah waktu yang paling menyeronokkan. Boleh dikatakan mereka akan berjumpa rakan-rakan ketika waktu malam.

Jadi, apa langkah kita sebagai ibu bapa untuk menghalang mereka keluar dan merasakan lebih seronok berada bersama keluarga di rumah. Tip ini mungkin dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak remaja diluar sana.

 

  • Pelan rutin keluarga di malam hari 

Rancang aktiviti yang boleh dilakukan oleh anak remaja bersama ahli keluarga. Contohnya, jadikan satu rutin keluarga untuk berjemaah di masjid pada solat Maghrib atau Isyak.

 

  • Tetapkan masa dan peraturan

Agak sukar kepada ibu bapa untuk menghalang remaja yang berumur 18 tahun ke atas keluar malam kerana nanti dikatakan mengongkong anak. Oleh itu, ibu bapa boleh menetapkan masa dan hari yang dibenarkan mereka keluar. Sebagai contoh, mereka harus pulang ke rumah sebelum 9.30 malam dan jika mereka melanggarnya, mereka akan didenda. ibu bapa bertanggungjawab untuk bertegas dalam hal ini agar anak remaja faham dengan peraturan yang ditetapkan.

 

  • Jangan biarkan anak berkurung di dalam bilik 

Elakkan daripada membiarkan anak remaja terperap di dalam bilik sendirian. Jika ini berterusan, hubungan dan komunikasi antara ibu bapa dan anak menjadi renggang. Yang lebih membimbangkan adalah ketiadaan anak remaja di rumah pun tidak disedari oleh ibu bapa kerana jarang bersua muka.

 

  • Jadi sahabat 

Waktu malam adalah waktu santai dan masa yang sesuai untuk ibu bapa mengajak anak berkongsi cerita. Tanya tentang perkembangan pembelajaran di sekolah, tentang rakan-rakan mereka, masalah di sekolah dan pelbagai kisah yang melibatkan mereka. Kebiasaan berbual ini akan membuatkan anak menjadikan kita sahabat dan tidak meluahkan perasaan atau bercerita dengan orang di luar rumah.

 

  • Ikuti aktiviti anak 

Ibu bapa pastinya tahu akan minat anak-anak mereka. Rancanglah aktiviti yang mereka minati. Melalui ini, anak remaja akan terasa begitu dihargai oleh ibu bapanya. Umpamanya, jika anak anda suka untuk berbasikal di waktu malam, ibu bapa boleh mencari mana-mana kelab basikal atau penganjur pertandingan berbasikal di malam hari sebagai bukti anda menyokong minat anak anda. Jika tiada, ibu bapa boleh menemani anak-anak ketika melakukan aktiviti sekaligus dapat merapatkan hubungan anak beranak.

.

.

.

.

Sumber : keluarga.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest