9 TIPS TRAVEL BERSAMA ANAK-ANAK

1464709766_kids_4

Travel dengan anak-anak kecil boleh jadi sesuatu yang amat mencabar kesabaran dan menguji keimanan ibu bapa. Lebih-lebih lagi bila anak sudah lebih dari 2 orang. Di sini saya kongsikan beberapa tips yang boleh memudahkan para ibu bapa untuk travel bersama anak-anak kecil. Tips ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar saya dan isteri membawa 3 orang anak kecil di bawah 5 tahun travel.

 

1) Bekalan Ubat

Sediakan bekalan ubat yang cukup. Jangan ambil risiko. Antara ubat dalam senarai wajib ialah Suppossitory (ubat masuk punggung untuk demam), Smecta (ubat cirit-birit), Sterimar (batuk selsema). Ubat-ubat ini untuk anak-anak. Untuk orang dewasa anda boleh bekal beberapa ubat basic seperti Paracetamol (demam), Charcoal (cirit-birit), Lozenges (sakit tekak). Apapun, mesti dapatkan nasihat doktor dan farmasis. Boleh bawa senarai ni dan tanya mereka. Jangan ambil ubat tanpa terlebih dahulu dapatkan nasihat mereka.

 

2) Makanan

Sediakan bekal makanan yang LEBIH DARI CUKUP terutama semasa menunggu di airport. Jangan sama sekali harapkan makanan dalam flight. Ini senario-senario di mana bekalan makanan ini sangat diperlukan oleh anak anda.

a) Anda dan semua penumpang sudah ‘board’ pesawat. Final check yang dibuat oleh pilot mendapati ada masalah pada pesawat. Penerbangan ditangguhkan. Ada kemungkinan pesawat akan cuba dibaiki pada ketika itu juga dengan semua penumpang tidak dibenarkan keluar. Terdapat kes di mana semua penumpang terpaksa tunggu 2-3 jam sebelum dibenarkan turun dari pesawat. Anak-anak takkan tahan dengan tempoh lama sebegini.

b) Transit malam. Bukan semua airport seperti Dubai yang buka 24 jam dan mudah dapat makanan halal. Sesetengah airport, kedainya tutup pada waktu malam. Jika anda transit di airport sebegini, pasti anda tak mahu anak-anak menangis kelaparan.

c) Airport transfer. Dalam sesetengah keadaan terutama jika anda travel dengan agensi pelancongan, tempoh masa dari anda turun pesawat hingga check-in hotel boleh jadi 3-5jam. Ini boleh jadi bila hotel anda jauh dari airport atau perlu tempuh trafik yang sesak.

Jadi saya sarankan anda bawa bekal seperti Energy Bar, Biskut Sultana, Biskut Munchy’s Oat Krunch, Roti Gardenia Delicia atau apa-apa bekal yang anda rasa sesuai. Sebaiknya bekal yang tidak renyah, mudah masuk bag dan tidak basah. Jika anda travel ke negara yang sukar dapat makanan halal, bawa lebih!

 

3) Beg

Biasakan untuk pastikan sekurang-kurangnya ada satu persalinan (termasuk pampers yang cukup) dalam beg hand carry. Biasa berlaku beg penumpang lewat sampai kerana tidak dibawa dalam penerbangan yang sama (atas faktor keselamatan mahupun kesilapan teknikal). Jika ini berlaku, sekurang-kurangnya anak-anak ada persalinan untuk pastikan mereka selesa dan tak meragam.

 

4) Aktiviti

Rancang aktiviti anak terutama ketika menunggu di airport, di dalam pesawat dan di dalam bas. Antara yang boleh dibuat ialah tanya mereka apa mainan dan buku yang mereka mahu bawa (ini juga mendidik mereka membuat keputusan). Untuk anak-anak berumur 4 tahun dan ke atas, ini masa yang baik untuk buat aktiviti membaca buku, belajar Iqra’ dan hafazan. Boleh juga buat kuiz matematik, anak-anak akan ambil masa untuk dapatkan jawapan walaupun soalannya sangat mudah 2+2.

Sesetengah airport ada spot atau tempat yang tersembunyi dan kurang orang. Jika anda jumpa tempat seperti ini, boleh benarkan anak berlari dan bermain. Boleh juga buat ‘deal’ dengan anak. Kata pada mereka sekarang anda benarkan mereka berlari-lari, nanti bila sampai masanya mereka perlu ber’sopan-santun’.

 

5) Taklimat

Tips ini saya belajar dari Ustazah Isfadiah. Jangan pandang rendah pada keupayaan anak-anak. Sebulan sebelum bertolak, ceritakan berulang-ulang kali kepada anak-anak tentang apa yang bakal mereka lalui. Untuk anak-anak berusia lebih dari 2 tahun, beritahu sekali pada mereka apa yang anda mahu mereka buat seperti bawa beg sendiri, jalan di hadapan anda, sentiasa pegang tangan, jaga adik dan sebagainya. Sepanjang tempoh musafir, setiap pagi beri mereka ‘taklimat’ apa yang bakal berlaku pada hari tersebut. Anda akan dapati kelakuan anak-anak lebih terkawal.

 

6) Mood Anak-Anak

Pastikan jadual travel ada masa lapang. Anak-anak akan keletihan dan meragam jika jadual terlalu padat.

Jika anak ada 3 orang atau lebih, ada baiknya bincang dan tetapkan dengan pasangan siapa ‘jaga’ siapa. Siapa pegang tangan siapa. Mungkin isteri ‘jaga’ anak bongsu dan suami ‘jaga’ anak pertama dan kedua. Jadi masing-masing tahu fokus.

 

7) Peraturan Pegang Kaki

Ada keadaan-keadaan tertentu anda tidak dapat pegang tangan anak. Sebagai contoh semasa semakan passport atau boarding pass atau semasa mengeluarkan duit untuk bayar sesuatu. Latih anak-anak untuk peluk erat kaki anda dalam keadaan begini. Kelebihan jika anda amalkan peraturan ini ialah anak-anak bersentuhan dengan anda dan jika mereka lepaskan kaki anda akan terus sedar dan boleh segera bertindak.

 

8) Masa

Lelaki. Sebelum berkahwin kalau nak keluar, siap 5 minit terus keluar. Selepas kahwin, siap 30 minit baru boleh keluar. Sudah anak satu, 1 jam. Anak tiga?

Semasa susun itinerary perjalanan, ambil kira faktor anak-anak. Anak-anak ambil banyak masa untuk bersiap dan kadang-kadang bila datang mood tidak baik mereka, lagi banyak masa yang diambil.

Datang awal ke airport. Sebaiknya ambil penerbangan selepas jam 11.30 pagi. Jika tidak, anak-anak mungkin akan meragam kerana terpaksa bangun terlalu awal untuk bersiap ke airport.

 

9) Kumpulan Kecil

Lebih mudah jika travel di dalam kumpulan kecil. Jika travel bersama ahli keluarga lain, lebih baik. 3,4,5 pasang mata lebih baik daripada 2 pasang mata untuk memerhatikan anak-anak kita. Jika anda travel dalam dalam kumpulan yang besar, buat sub-group di dalam kumpulan besar tersebut supaya anak-anak lebih selamat.

.

.

.

Kredit kepada : Encik Ahmad Huzaifah Ahmad Shahrir

Tagged

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest