Didik Kepentingan Dan Sikap Berjimat-cermat

d-evelopment

KEBANYAKAN masyarakat kita sebenarnya sudah terdidik sejak dari kecil lagi mengenai tabiat menabung demi kebaikan masa depan. Sama ada ia dipraktikkan secara berterusan atau tidak, bergantung kepada sikap sendiri.

Bagi sesetengah ibu bapa mungkin amalan menabung ini antara yang dititikberatkan kepada anak-anak bagi memberi pendidikan awal mengenai sikap berjimat-cermat. Pelbagai pendekatan dilakukan untuk mendisiplinkan anak supaya perkara ini menjadi rutin harian.

Pepatah ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’ antara kata-kata motivasi yang menjadi panduan untuk kita terus berusaha membuat tabungan. Mungkin bagi anak-anak yang masih bersekolah lebihan wang saku boleh disimpan di dalam tabung.

Manakala bagi orang dewasa yang berkerjaya apa salahnya membuat simpanan sendiri hasil wang gaji yang diperoleh setiap bulan. Bahkan mereka boleh juga mendisiplinkan dengan memastikan lebihan wang perbelanjaan harian disimpan dalam tabung.

Sekurang-kurangnya duit tabungan ini boleh digunakan ketika waktu kecemasan seperti kereta rosak, membayar caj rawatan klinik atau perlu balik kampung atas urusan keluarga ketika tengah bulan. Semua ini kita tidak dapat jangkakan dan persediaan awal sangat penting.

 

Simpan di bank

Dalam keadaan sekarang juga, istilah menabung tidak hanya dipraktikkan dengan menyimpan wang di dalam tabung semata-mata. Kini bank juga menjadi tempat lebih sesuai untuk kita membuat simpanan. Cuma kaedahnya adalah berbeza.

Mungkin di bank duit yang disimpan lebih selamat dan terjamin. Bagaimanapun, bagi yang gemar menabung di rumah eloknya tabung simpanan wang tidak ditayang secara terbuka.

Trend hari ini juga mendapati sudah ramai yang kreatif dengan membuat tabung sendiri dan mengasingkan duit RM20, RM10, RM5 dan RM1. Cara ini bukan saja dapat memberi motivasi untuk menyimpan tetapi dalam masa sama apabila melihat wang tersebut memenuhi ruang dalam botol, kita jadi lebih bersemangat.

Ambillah pendekatan, walau simpanan kita tidak banyak dalam sebulan, namun sekurang-kurangnya jumlah simpanan akan bertambah.

 

Tip menyimpan duit :

1. Hapuskan hutang terlebih dahulu

2. Tetapkan matlamat tabungan.

3. Buat satu jangka masa untuk anda menyimpan.

4. Fikirkan berapa banyak yang anda perlukan untuk menyimpan.

5. Simpan rekod perbelanjaan anda.

6. Kurangkan perbelanjaan.

7. Nilai semula matlamat simpanan.

8. Buat bajet anda sendiri.

9. Berhenti menggunakan kad kredit.

10. Letak duit dalam balang.

11. Lihat jika anda boleh mencari akaun bank dengan kadar dividen yang lebih tinggi.

12. Bayar diri sendiri dahulu.

13. Jangan mudah kecewa atau berputus asa.

.

.

.

.

Kredit : sinar harian

.

.

Like PAGE kami : The Palazzo Expert / Comfy Wear by The Palazzo Expert

Follow INSTAGRAM kami : thepalazzoexpert

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest