Jadikan Anak-Anak Sahabat Baik Anda

Momen membesarkan anak-anak menjadi sangat indah jika disulamkan dengan kasih sayang dan tiada rahsia antara ibu bapa dan anak-anak. Budaya kasih sayang yang dipupuk dari awal akan mendidik mereka menjadi seorang yang penyayang.

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mencorak keperibadian anak kita. Bagaimana kita mahu menjadi teman baik kepada anak sendiri?

Berikut merupakan beberapa panduan yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam menjadikan anak-anak sahabat mereka berdasarkan penjelasan daripada Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, lulusan Business Forensic Psychologist, Grand Master Hypnotherapist dari Tactite Training & Consultancy Sdn Bhd.

 

HH_familye_2_675x359_FitToBoxSmallDimension_Center

Selami dunia anak-anak 

Ibu bapa perlulah memberikan kepercayaan dan membuka minda kepada dunia anak-anak . Anak-anak sentiasa inginkan diri mereka difahami. Ketelusan ibu bapa akan membuka ruang kepada anak-anak untuk menerima dan menganggap ibu bapa mereka sebagai kawan. Elak daripada mengeluarkan perkataan menghukum.

Perkataan menghukum atau kata-kata menyalahkan anak-anak akan lebih menjauhkan mereka daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk mendorong anak-anak mereka dengan kata-kata yang lebih positif dan membina. Berikan kepercayaan dan keyakinan anda dalam setiap keputusan yang mereka buat.

 

Membina jalinan hubungan yang baik

Ibu bapa perlulah membina satu reputasi hubungan yang baik dan membuatkan anak-anak merasa diri mereka penting dan dihargai. Melalui ‘parental rapport’ ini, anak-anak akan merasa kebergantungan kepada ibu bapa sebagai kawan bukannya sebagai ibu bapa. Malah, anak akan berasa lebih dihargai jika ibu bapa berikan tunjuk ajar bukannya menghukum atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.

 

Berkomunikasi dengan anak-anak 

Bawa anak-anak anda masuk dalam perbincangan keluarga. Ibu bapa juga perlu belajar untuk sering berkomunikasi bersama mereka. Tanyakan pendapat mereka sekali-sekala apabila dalam perbincangan misalnya ‘Jika anda di tempat saya, apakah yang anda akan lakukan dan kenapa.’ Selain daripada perbincangan keluarga, cuba bawa anak-anak anda keluar beriadah ataupun meluangkan masa bersama anak-anak.

 

Elakkan daripada melakukan perkara ini 

Beberapa perkara perlu dielakkan oleh ibu bapa dalam menjadikan anak-anak teman baik mereka. Jangan sesekali membiarkan anak-anak anda menyelesaikan masalah mereka sendirian. Ibu bapa juga perlu elakkan daripada bersikap tidak ambil kisah tentang anak-anak. Apabila mereka memberikan pendapat, jangan menyangkal pandangan mereka, menyalahkan atau mencari kesalahan mereka. Elakkan pendekataan soal siasat ketika bertanya. Ibu bapa juga perlu elak daripada mengutuk atau mengata pasangan kepada anak-anak.

 

Mengawal perkongsian rahsia dengan anak-anak 

Ibu bapa tidak perlu berkongsi tentang semua perkara bersama anak-anak. Perkara-perkara seperti perhubungan dingin, perbalahan, persengketaan, syak wasangka atau perkara yang berat sebelah kepada ibu atau bapa haruslah dielakkan daripada berkongsi bersama anak-anak. Ibu bapa perlu dilihat sebagai satu, bukan dua. Secara positifnya, ibu bapa harus menerangkan bahawa perkongsian maklumat ini memberi tahu sesuatu tentang isi hati anda atau memerlukan anak-anak memahami isi hati anda. Dari sudut negatifnya, anak-anak akan melihat anda menambahkan masalah kepada mereka dan inginkan mereka mencari jalan menyelesaikan masalah anda.

 

 

 

Sumber : Majalah Keluarga (keluarga.com.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest