Makan Sayur-sayuran Cegah Artritis

makan-sayur-130930b

SECARA umum, artritis merujuk kepada penyakit reumatik yang memberi kesan kepada sendi, tisu yang mengelilingi sendi dan tisu penyambung.

Di Amerika Syarikat, bilangan golongan dewasa menghidap artritis dijangkakan bertambah kepada 67 juta menjelang tahun 2030. Lebih dua pertiga daripada angka tersebut pula dijangka akan mengalami aktiviti fizikal terhad.

Itu kajian di Amerika Syarikat. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan? Walaupun statistik di negara lain tidak mencerminkan apa-apa namun apa yang ingin disampaikan ialah golongan dewasa negara kita termasuk golongan wanita juga berkemungkinan besar akan mengalami pertambahan peratusan penghidap artritis dari setahun ke setahun.

PUNCA ?

Apakah punca peningkatan tersebut? Pada pandangan penulis, punca utama gaya atau cara hidup yang diamalkan oleh penduduk negara kita pada hari ini serupa dengan yang diamalkan oleh penduduk di Amerika Syarikat.

Gaya hidup yang dijalani oleh ramai orang pada zaman serba moden sekarang termasuklah oleh sebahagian wanita ialah mengambil jenis makanan yang tidak serupa seperti diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu. Stres kronik dan pengambilan ubat-ubatan moden (termasuk dalam bentuk gabungan) tertentu secara jangka panjang juga tidak pernah dikenali (mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan) oleh sebahagian besar orang dulu-dulu.

Kebiasaan sebahagian daripada orang pada zaman sekarang ialah makan makanan yang tinggi dengan karbohidrat proses terutamanya nasi daripada beras ceruh, produk tepung ceruh, makanan atau minuman tinggi gula dan amat kurang atau langsung tidak memakan sayur-sayuran. Buah-buahan pula mungkin diambil beberapa kali dalam seminggu.

Salah satu teori pembentukan artritis yang digunakan oleh ramai pengamal atau pendidik kesihatan holistik ialah makanan yang kurang sempurna daripada segi jenis dan nilai nutrien yang diambil selama bertahun-tahun boleh menyebabkan tubuh terdedah kepada keradangan atau inflamasi.

Puncanya ialah seperti yang penulis nyatakan di atas iaitu amalan gaya hidup zaman sekarang. Sesungguhnya kombinasi karbohidrat proses, makanan atau minuman tinggi gula, stres kronik, kurang atau tidak memakan sayur-sayuran dan buah-buahan serta pengambilan ubat-ubatan moden secara berpanjangan merupakan faktor yang dipercayai menimbulkan keradangan.

Sebahagian daripada nenek moyang kita biasa mengambil beras tidak ceruh yang masih mengekalkan banyak jenis nutrien dan tinggi serat. Sebahagian yang lain pula makan nasi daripada beras ceruh namun mereka menjadikan sayur-sayuran termasuk dalam bentuk ulam-ulaman sebagai hidangan wajib dalam menu harian mereka. Mereka makan pegaga mentah, kacang panjang mentah atau direbus, sayur pucuk paku, cendawan yang dipungut di tepi hutan atau kangkung yang tumbuh liar dalam parit atau paya.

Penulis pernah beberapa kali terserempak ketika makan di gerai-gerai atau restoran dengan sebuah keluarga terdiri daripada ibu-bapa dan anak-anak yang memesan makanan tanpa sayur-sayuran. Orang dulu-dulu menganggap mi atau mihun yang dicampurkan bersama sayur-sayuran akan menambahkan ‘umph’ kepada makanan.

Sebaliknya sebahagian daripada orang sekarang termasuk kaum wanita menganggap sayur-sayuran ialah bahan yang membantutkan selera kerana meloyakan tekak mereka. Ingatlah para wanita budiman. Sesungguhnya, sayur-sayuran dan sesekali buah-buahan yang dimakan oleh nenek moyang anda menyumbang banyak manfaat kesihatan kepada kesihatan mereka. Makanan-makanan tersebut terbukti kaya dengan antioksidan.

Apakah kaitan makanan berantioksidan dengan pencegahan dan peredaan artritis? Setiap jenis makanan yang kita makan, asap pencemar alam, asap rokok atau kenderaan, kimia perapi tubuh, aditif makanan, herba, suplemen dan ubat-ubatan moden secara umumnya menjalani detoksifikasi dalam hati (organ utama menjalankan detoks).

 

DETOKSIFIKASI

Mereka yang mengamalkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi pada setiap hari dipercayai berupaya membantu detoksifikasi dalam hati berjalan lancar. Makanan tinggi antioksidan akan meneutralkan radikal bebas (molekul beratom tunggal) terhasil sebagai produk tahap pertama detoks dalam hati.

Radikal bebas yang telah dineutralkan dengan sempurna akan menjalani proses detoks tahap kedua iaitu bergabung dengan molekul tertentu yang menyebabkan keseluruhan molekul baharu larut air. Produk ini menyerap  ke dalam bendalir hempedu yang kemudiannya dikumbah ke dalam usus kecil dan dibuang bersama tinja.

Jadi, mereka yang kurang atau langsung tidak makan sayur-sayuran akan menghadapi masalah ketoksikan di dalam hati dan seluruh tubuh. Mengamalkan gaya hidup orang zaman moden seperti yang penulis sebutkan di atas selama bertahun-tahun menyebabkan bahan-bahan bertoksik berkumpul di dalam tubuh termasuk pada sendi. Inilah antara punca artritis.

Rempah ratus, herba yang sesuai dan semua jenis sayur-sayuran merupakan sumber antioksidan yang baik. Mengamalkan pengambilannya menurut tempat masing-masing dan keperluan, dipercayai mampu mencegah artritis malah boleh meredakan artritis. Sebahagian daripada penghidap dipercayai boleh kembali kepada keadaan sedia kala.

 

INFO : 

• Amalan makan ulam dikatakan dapat membantu mencegah dan meredakan artritis.

• Ulam-ulaman mentah atau dicelur seperti pucuk betik, tepu pauh, petai, pucuk kaduk, pucuk beka, kacang botol, daun tenggek burung, pegaga, pucuk ubi dan jantung pisang semuanya mengandungi pelbagai fitonutrien bersifat antioksidan di samping kaya dengan serat.

 

CAPTION :

1. Kandungan antioksidan sayur-sayuran dan buah-buahan dipercayai membantu meredakan keradangan – cegah dan redakan artritis.

2. Murung dan resah punca keradangan – memburukkan simptom-simptom artritis.

.

.

.

.

Kredit : sinar harian

.

.

Like PAGE kami : The Palazzo Expert / Comfy Wear by The Palazzo Expert

Follow INSTAGRAM kami : thepalazzoexpert

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest