Spa Di Rumah Dengan Madu

KAUM wanita terutamanya kaum ibu memang sentiasa peka kepada keperluan menjaga kesihatan. Selain menjalani gaya (cara) hidup yang sesuai seperti menghindari makanan tertentu, mengambil makanan yang sesuai daripada segi jenis dan pola untuk pemuliharaan kesihatan serta beberapa aspek gaya hidup lain, mereka juga menggunakan bahan tertentu termasuk madu.

Berikut ialah beberapa kegunaan madu yang boleh dimanfaatkan menurut keperluan seseorang wanita dan keluarga.

 

cara-spa-di-rumah

TOPENG MUKA ANTI ACNE

Madu bersifat menyerap lembapan. Apabila digunakan pada kulit ia mengekalkan kelembapan dan meredakan kulit kering. Ia juga memiliki sifat antibakteria yang bermanfaat untuk kulit yang mudah mengelupas. Madu terbaik ialah madu mentah iaitu madu yang dihasilkan dengan perahan dan tidak dipanaskan.

Madu mentah merupakan madu tulen yang masih mengekalkan enzim dan pelbagai fitonutrien dan nutrien. Fitonutrien merujuk kepada nutrien tumbuh-tumbuhan iaitu karotenoid, bioflavonoid, polifenol, stilbin, indole, lignin dan isoflavone – bersifat antioksidan antikeradangan dan antikanser.

Untuk mencegah atau meredakan akne pada wajah, sapu madu tulen dengan lapisan nipis sebagaimana menggunakan topeng muka (face mask).

Kaedah penggunaan: Celupkan jari ke dalam air bersih diikuti dengan mencelupkan jari ke dalam madu. Sapu dan ratakan madu dengan cermat dan perlahan-lahan. Selepas 10 minit, bilas dengan air suam. Elakkan daripada menggunakan sebarang jenis sabun. Kemudian, akhiri dengan menyapu pelembap kegemaran anda.

Tip : Campuran minyak kelapa dara dan gel aloe vera boleh dijadikan pelembap.

 

ALAHAN DAN RANGSANG KEIMUNAN

Madu terkenal dengan penggunaannya untuk meredakan sakit tekak, batuk dan mengharmonikan fungsi sistem imun. Ia mengandungi vitamin B, asid amino dan enzim. Selain itu, ia turut mengandungi mineral seperti magnesium dan kalsium di samping pelbagai fitonutrien yang bersifat antioksidan dan antikeradangan. Pengambilan madu setiap hari dikatakan boleh mengurangkan kemungkinan untuk mengalami penyakit-penyakit tersebut.

Kaedah penggunaan: Ambil satu sudu besar madu tulen setiap hari. Anda juga boleh mengambil madu dengan mencampurkannya sebagai pemanis ke dalam air teh. Menggabungkan satu sudu besar madu dengan cuka epal juga dipercayai bermanfaat kepada kesihatan.

Tip : Mengambil madu Manuka dari New Zealand juga adalah pilihan yang baik kerana Manuka dikatakan membantu merangsang fungsi sistem imun.

 

MASALAH PENGHADAMAN

Penggunaan madu dipercayai sesuai untuk yang wanita mengalami masalah penghadaman seperti diarea, sembelit atau sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome).

Pengambilan satu sudu besar madu tulen tiga kali sehari dikatakan boleh meredakan diarea.

Alternatif: Sediakan teh halia dengan meracik satu sentimeter halia dan masukkan ke dalam secawan air panas. Tambah satu sudu besar madu tulen dan minum. Madu dikatakan berupaya membantu melancarkan peristalsis dan seterusnya meredakan sembelit.

Pelbagai nutrien semula jadi madu dipercayai membantu mengharmonikan mikrobiota (panggilan baharu kepada mikroflora usus yang terdiri sebahagian besar daripada koloni bakteria baik dan jahat). Jadi, mengamalkan pengambilannya setiap hari dipercayai dapat meredakan sindrom rengsa usus.

Untuk wanita yang mengalami gastritis (biasa dikenali dengan istilah gastrik) atau ulser perut/usus, mengamalkan pengambilan madu Manuka dipercayai membantu meredakannya.

 

SYAMPU DAN PERAPI

Sebahagian besar kaum wanita biasanya menggunakan syampu rambut dengan jenama pelbagai pilihan yang dibeli dari pasar raya. Berikut penulis terangkan bagaimana untuk menggunakan madu sebagai pengganti syampu.

Anda boleh mencampurkan madu dengan beberapa bahan semula jadi untuk dijadikan syampu. Cara yang paling mudah, anda boleh menggabungkan madu dengan santan kelapa pada nisbah serupa.

Menggunakan madu semata-mata selepas membilas rambut membantu merapikan rambut.

Kaedah penggunaan : Oles dan ratakan madu ke seluruh rambut dan kulit kepala bagi mendapatkan rambut segar dan bersinar. Jika anda boleh mendapatkan sumber lumpur bersih, syampu dengan gabungan madu dan lumpur juga dikatakan dapat menyegarkan kulit kepala kerana lumpur mengandungi paras mineral yang tinggi.

 

MEMPERCEPATKAN PENYEMBUHAN LUKA

Sifat antibakteria, antivirus, antioksidan, antiradang dan memodulasi sistem imun dipercayai menjadikan madu mujarab untuk mempercepat dan menyembuhkan luka termasuk luka kerana terbakar.

Ramai orang tidak tahu sebenarnya sistem imun terlibat dalam penyembuhan luka. Penggunaan madu merangsang sel darah putih merembeskan sitokin (molekul pengisyaratan) di mana proses inilah yang memulakan proses pembaikpulihan tisu. Madu didapati juga merangsang pembinaan antibodi dan pertambahan bilangan sel-sel limfosit B dan T. Madu Manuka dari New Zealand dikatakan sebagai pilihan madu terbaik untuk mempercepatkan penyembuhan luka.

 

MEMUDAHKAN TIDUR

Terdapat situasi di mana anda sukar melelapkan mata untuk tidur malam atau tidur tetapi tidak lena. Mungkin perkara yang biasa anda lakukan ialah minum segelas susu atau minum teh herba misalnya teh pegaga atau semalu.

Anda boleh cuba mengamalkan cadangan berikut.

Kaedah penggunaan : Larutkan satu camca teh madu tulen dan satu per empat camca garam Himalaya (halus) ke dalam secawan air mineral atau air suam. Minum setengah jam sebelum tidur.

.

.

.

.

Kredit : sinar harian

.

.

Like PAGE kami : The Palazzo Expert / Comfy Wear by The Palazzo Expert

Follow INSTAGRAM kami : thepalazzoexpert

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest